Umum mengetahui bahawa berdengkur semasa tidur merupakan perkara biasa. Hal ini kerana orang yang mengalami masalah ini tidak sedar mereka berdengkur dan hanya mengetahuinya selepas mendengar rungutan daripada pasangan masing-masing. Mengikut kajian, kaum adam mendominasi masalah ini berbanding kaum hawa iaitu dalam nisbah 60:40.
Kita sering terdengar tentang mitos berdengkur merupakan penanda aras seseorang itu telah tidur dengan nyenyak. Namun, tahukah anda bahawa mitos itu tidak benar sama sekali. Hal ini kerana apabila seseorang itu berdengkur, mereka sebenarnya tidak dapat tidur dengan nyenyak dan mereka akan kerap terjaga serta mengambil masa untuk lelap kembali. Hal inj menunjukkan mereka akan mengalami gangguan tidur kerana masalah ini. Perkara ini sekaligus akan memberi kesan pada siang hari.